Thursday, July 23, 2009

Unjuran jumlah jualan kenderaan susut 8.8 peratus: MAA

PETALING JAYA: Jumlah jualan kenderaan baru yang didaftarkan di Malaysia diunjurkan susut 8.8 peratus tahun ini kepada 500,000 unit berbanding 548,115 tahun lalu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, hari ini berkata, keyakinan dalam industri automotif akan perlahan-lahan pulih pada separuh kedua tahun ini.

"Unjuran itu adalah angka yang realistik berdasarkan faktor ekonomi dan alam sekitar. Ia juga berdasarkan jangkaan bahawa ekonomi Malaysia hanya dijangka pulih pada suku keempat 2009," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Bagi tempoh separuh pertama 2009, katanya, jualan industri menunjukkan penurunan 9.7 peratus kepada 251,092 unit berbanding 277,973 unit dalam tempoh perbandingan 2008.

Beliau berkata, penurunan itu lebih rendah berbanding unjuran asal sebanyak 12.4 peratus. Jumlah keseluruhan industri kenderaan baharu Malaysia dalam tempoh separuh pertama tahun ini juga adalah antara angka paling tinggi di kalangan negara anggota Asean, katanya.

Menurutnya pelancaran model baharu Proton, terutama Exora, serta kereta bukan nasional pada separuh pertama tahun ini, membantu memacu peningkatan angka jualan.

Pengenalan model baru juga akan membantu mengekalkan minat belian pada separuh kedua tahun ini, menurut MMA.

Aishah bagaimanapun berkata, kadar faedah sewa beli menjejaskan jualan kenderaan bukan nasional.

"Selain itu, bank juga lebih berhati-hati dan mengenakan peraturan yang lebih ketat dalam meluluskan pinjaman jual beli. Akibatnya, pembeli kereta menghadapi masalah memperoleh pinjaman," katanya.

Meskipun kelembapan ekonomi menjejaskan jualan kenderaan daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, jualan kereta premium hanya turun sedikit, kata MAA.

Jualan kenderaan penumpang baru sepanjang tempoh enam bulan pertama 2009 berjumlah 28,200 unit, menyumbang 90.9 peratus daripada keseluruhan bilangan industri berkenaan.

Bagaimanapun, 228,200 unit itu adalah pencapaian yang lebih rendah berbanding 254,252 unit yang direkodkan dalam tempoh perbandingan Januari hingga Jun 2008, katanya.

Jumlah pengeluaran pada separuh pertama 2009 susut 12.7 peratus kepada 229,842 unit berbanding 263,222 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Penurunan jumlah pengeluaran ini adalah lebih tinggi daripada kejatuhan 9.7 peratus jumlah jualan pada separuh pertama 2009, berikutan pelarasan pengeluaran dilaksanakan bagi mengelak lebihan stok," kata Aishah.

Beliau berkata, pengukuhan mata wang asing juga menjejaskan industri berkenaan, dengan anggota MAA menyerap kerugian dalam tukaran mata wang bagi mengekalkan harga.

Dolar Amerika Syarikat dan yen Jepun sudah mengukuh, dan anggota MMA mungkin menghadapi masalah untuk terus menyerap kerugian dalam kadar tukaran asing, katanya.

Mengenai perkembangan Dasar Automotif Nasional (NAP), Aishah berkata, kerajaan sedang mengumpul maklumat balas daripada industri berkenaan.

"Pertimbangan utama terhadap isu ini ialah Proton kini tidak mempunyai rakan usaha sama," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment