Wednesday, September 16, 2009

F1 1Malaysia

Teknologi anak tempatan sertai perlumbaan

PUTRAJAYA: Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu menggabungkan teknologi Proton dan Lotus, kepakaran Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan SIC, Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia.

"Ini pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini (atas) direka bentuk, dibuat dan diuji di SIC dan adalah kereta buatan Malaysia.

"Kumpulan mengendalikan pitstop juga rakyat Malaysia. Kita akan kenal pasti pelumba yang sesuai untuk kendalikan kereta ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dua pemandu pasukan itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.


"Ini adalah satu perkembangan yang sangat bermakna dan pasti dapat menaikkan imej Malaysia dalam perlumbaan F1, khususnya dan persada antarabangsa amnya," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan I, berkata pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad.

Pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata:

"Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka."

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata, projek itu bukan pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia, khususnya jenama Proton dan Lotus.

"Maknanya kalau kita hendak eksport Proton dan guna enjin Lotus, kita perlu menentukan jenama kita lebih mantap dan dikenali serta diterima di peringkat antarabangsa.

"Ada elemen pemasaran yang kuat di sebalik (projek) ini kerana ia bukan dilihat sebagai satu kegiatan sukan semata-mata, tetapi ada unsur pemasaran dan untuk Malaysia seluruhnya," katanya.

Malah, katanya, usaha berkenaan akan turut membawa faedah kepada pengukuhan jenama Air Asia dan Naza di peringkat antarabangsa.

Ditanya sama ada pasukan itu sempat membuat persediaan menjelang kejohanan tahun depan, Najib berkata:

"Tentunya kita tidak boleh berharap ia (kejayaan) berlaku serta merta, ia bersifat progresif tetapi saya harap suatu hari nanti kita boleh mendengar lagu kebangsaan negara dimainkan (ketika menang), itu impian kita."

Malaysia mula terbabit dalam perlumbaan F1 sejak 1999 menerusi pembukaan SIC yang berjaya memasuki kalendar perlumbaan F1 dunia menerusi Grand Prix Petronas (Petronas GP) yang mana tahun depan adalah siri ke-11.

Kenyataan akhbar pasukan itu memetik Najib sebagai berkata usaha mewujudkan pasukan F1 Malaysia sendiri bertujuan menarik lebih banyak pelaburan asing dan kepakaran teknikal terbaik yang boleh menjana pertumbuhan industri automotif negara.

Najib berharap lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan bagi menghasilkan kereta yang berkesan dari segi kos, lebih ringan dan lebih selamat.

No comments:

Post a Comment