Sunday, September 13, 2009

Siapa pilihan Volkswagen?


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Siapakah yang akan menang? Perebutan untuk mengadakan pakatan strategik dengan syarikat automotif terkemuka dari Jerman kini semakin hangat.

Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini menyatakan pihaknya telah berbincang semula untuk mengadakan pakatan strategik dengan Volkswagen (VW) dalam usaha menjadi lebih kompetitif di peringkat global.

Kenyataan itu akan muncul ketika DRB- Hicom Bhd. juga menyatakan hasratnya untuk memikat VW apabila perbincangan telah dijalankan tetapi belum dimuktamadkan lagi.

Syarikat milik tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu sememangnya mencari pasangan baru apabila hubungannya dengan General Motor Corporation (GM) dikatakan semakin retak.

Proton, sebelum ini telah menghentikan perbincangan untuk mengadakan kerjasama dengan pembuat kereta Jerman itu pada November 2007.

Menurut sumber industri, kemungkinan untuk Proton memuktamadkan pakatan strategik dengan VW adalah lebih besar berbanding DRB-Hicom.

Bagaimanapun, sebarang kerjasama antara Proton dengan syarikat asing perlu dibuat berhati-hati kerana pihak luar tidak dinafikan mungkin mempunyai motif yang berbeza apabila mengadakan kerjasama.

''Syarikat asing ini lebih cenderung untuk mempunyai kepentingan majoriti di dalam sesebuah syarikat.

''Bagaimanapun, kami berharap, jika kerjasama ini menjadi kenyataan, ia banyak memberi faedah kepada pembuat kereta tempatan,'' jelasnya.

Kerjasama dengan VW akan meningkatkan persaingan dan seterusnya mengembalikan semula keyakinan terhadap pembuat kereta tempatan itu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed berkata, kini apa sahaja perbincangan yang dilakukan berada landasan yang betul.

Beliau menambah, perbincangan itu masih di peringkat awal dan enggan mengulas lanjut.

Proton merupakan 43 peratus dimiliki oleh sayap pelaburan kerajaan Khazanah Nasional Bhd.

Menurut penganalisis, penguasaan pasaran Proton pada masa ini adalah sebanyak 30 peratus.

''Kami melihat potensi kerjasama dengan VW merupakan sesuatu yang positif dan dapat membantu Proton untuk terus kompetitif,'' kata Penganalisis Automotif Maybank Investment Bank Bhd., TJ Liaw.

''Sekiranya kerjasama ini terjadi, kilang Proton akan digunakan untuk memasang kenderaan VW, oleh itu dapat membantu menyerap lebihan kapasiti Proton sekarang,'' katanya.

Tambah Liaw, pakatan tersebut juga akan meningkatkan profil antarabangsa Proton yang ingin mengembangkan pasaran eksportnya.


No comments:

Post a Comment