Wednesday, November 25, 2009

Proton kembali kuasai 31 peratus pasaran tempatan

Proton kembali kuasai 31 peratus pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Proton kembali menguasai lebih 31 peratus pasaran tempatan berbanding 20 peratus sebelum ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, hari ini.

Beliau berkata, ia terbukti apabila Proton mencatat keuntungan sebanyak RM168 juta, berdasarkan prestasi kewangan suku kedua tahun ini.

"Sejak akhir-akhir ini ada peningkatan dari segi prestasi berdasarkan prestasi kewangan suku kedua Proton yang mencatat keuntungan RM168 juta lebih baik daripada yang dianggarkan.

"Moga-moga ini menunjukkan Proton semakin mampu, menerusi model-model baru seperti Persona, Saga dan Exora," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Awang Adek berkata, Proton sentiasa berusaha dan mengkaji kaedah untuk memasarkan kereta model tersebut di pasaran luar negara.

"Kita akui bahawa Proton masih perlu tingkatkan kemampuan memasarkan kereta di luar negara, ini adalah sesuatu yang sedang dikaji oleh Proton, termasuk menjalinkan usaha sama dengan syarikat pengeluar kereta dalam usaha memajukan penjualan kereta, bukan saja dalam negara, malah di luar," katanya.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan 2008-2009, jumlah kereta Proton yang dipasarkan dan dijual dalam negara sebanyak 108,405 unit, manakala jumlah eksport sebanyak 18,426 unit.

Menjawab soalan asal Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai statistik pembuatan dan jualan kereta Savvy dan Juara, Awang Adek berkata, sehingga September ini, jumlah pengeluaran dan jualan kereta Savvy masing-masing sebanyak 38,460 unit dan 28,761 unit.

"Bagi Proton Juara, jumlah pengeluaran sebanyak 3,490 unit dan daripada jumlah itu, 3,422 unit dijual hingga 2007," katanya.

Beliau berkata, Proton Savvy mendapat sambutan baik di pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

"Kos pelaburan termasuk kos pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi model Savvy sebanyak RM504 juta manakala hasil jualan daripada model ini bagi tempoh lima tahun dari 2005 hingga Sept lepas di pasaran domestik, hampir mencecah RM694 juta dengan 28,671 unit terjual," katanya.

Bagi model Juara, beliau berkata, kos pelaburannya berjumlah RM38 juta. Walaupun model ini dilihat kurang mendapat sambutan yang memberangsangkan, namun hasil jualan daripada model ini mencecah RM116 juta. - Bernama

---------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah,
moga² lepas nie pencapaian lebih memberansangkan. Kami warga PROTON akan teruskan tekad memastikan setiap produk @ kereta yang dikeluarkan berkualiti tinggi demi menjamin kepuasan pengguna.

1 comment:

  1. ak stuju la kualiti Proton dh up banyak...ak pon gna persona hi-line 2007..no prob ja...member ak Vios 2007 dh power wndow prob..wiper int time die mereng sume...

    AKU BANGGA DENGAN PROTON...HAHAHAPatriotik giler...

    ReplyDelete