Sunday, May 30, 2010

:: Warisan Terakhir Tanah Melayu ::

Tanjong Pagar warisan terakhir Tanah Melayu

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

MEMINDAHKAN stesen kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tanjong Pagar ke Woodlands di Singapura bukanlah seperti memindahkan kerusi dan meja. Stesen Tanjong Pagar mempunyai sentimen, nostalgia dan lambang hubungan sejarah antara Malaysia dan Singapura.

Mulai Julai 2011 stesen Tanjong Pagar tidak beroperasi lagi. Perjalanan keretapi dari negara ini akan berakhir di Woodlands yang jaraknya lebih kurang 30 minit perjalanan dengan keretapi ke Tanjong Pagar. Perbincangan dan kata putus antara pemimpin negara ini dan Singapura telah dibuat baru-baru ini.

Banyak yang tersirat daripada yang tersurat, antaranya akan berakhirlah tinggalan Tanah Melayu di bumi Temasik itu. Banyak menganggap pemindahan ini sebagai "menang-menang" tetapi yang penting, selepas ini hubungan kedua-dua negara lebih akrab sekalipun tiada lagi warisan Tanah Melayu di Singapura.

Isu pemindahan stesen Tanjong Pagar ini bukan baru. Misalnya tahun 1998 tercetus ketegangan antara kedua-dua negara kerana Singapura mahu memindahkan stesen itu ke Woodlands. Bagaimanapun Malaysia berjaya menghalangnya kerana ia melibatkan banyak perkara maruah negara.

Sebenarnya stesen Tanjong Pagar ada signifikan dalam hubungan rakyat dengan rakyat di kedua-dua negara. Ini kerana perjalanan menyeberangi Selat Tebrau adalah penuh simbolik lagi nostalgik.

Ia adalah ikatan satu zaman di mana kedua-dua negara itu asalnya satu tetapi kemudian berpecah dua. Semua ini diikat apabila ada sepasang landasan melunjur membelah Singapura dari utara hingga ke selatan. Stesen yang mempunyai senibina di Tanjong Pagar itu melampaui sebuah stesen keretapi.

Walaupun kini bangunan stesen Tanjong Pagar dikelilingi bangunan pencakar langit dengan senibina moden, ia tetap membawa identiti Tanah Melayu. Misalnya mural pada kedua-dua dinding yang tinggi pada ruang menunggu menggambarkan sosioekonomi di Tanah Melayu ketika itu. Lakaran aktiviti perlombongan timah, sawah padi, penanaman getah dan juga tongkang China yang sedang berlabuh mengingatkan asal usul Singapura yang berada dalam Tanah Melayu suatu waktu dulu.

Stesen kereta api Tanjong Pagar adalah mercu tanda sejarah sebuah negara bernama Tanah Melayu. Ketika Singapura menjadi nadi negara ini stesen ini melengkapkan "kewujudan" Tanah Melayu dengan adanya pusat perfileman Melayu di Jalan Ampas, Universiti Malaya (di Singapura) dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands.

Kini Universiti Malaya berpindah ke Kuala Lumpur, pusat perfileman juga ke Kuala Lumpur. Ini termasuk juga sebuah organisasi persuratkhabaran Melayu, Utusan Melayu yang berpindah ke Kuala Lumpur pada 1958. Maka stesen Tanjong Pagar menjadi warisan negara yang terakhir "berpindah" menghampiri Selat Tebrau. Tapak stesen yang berkeluasan 32 hektar milik KTMB akan dibangunkan oleh syarikat kedua-dua negara.

Selepas Julai 2011, Tanjong Pagar akan menjadi wajah yang lain. Ini kerana dalam perancangan kedua-dua negara, akan dibina sistem transit pantas yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru. Pengangkutan menggunakan kereta api pada masa akan datang akan berakhir di Johor Bahru.

Pada 1998, kerajaan membuat keputusan untuk kekal di Tanjong Pagar walaupun didesak oleh Singapura berpindah ke Woodlands. Tetapi kini pemindahan atau "penghapusan" Tanjong Pagar dilihat sebagai mencabut duri dalam daging yang sering menyakitkan Malaysia.

Berdekad-dekad

Secara positifnya, memindahkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar menyelesaikan banyak isu yang tertunggak sejak berdekad-dekad dulu. Selepas laluan keretapi negara ini berakhir di Johor Bahru, tidak ada apa-apa lagi yang menghubungkan negara ini dengan Singapura. Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road dibina pada 1932 dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.

Stesen Tanjong Pagar ini dibina untuk menggantikan stesen kereta api Tank Road yang dibina tahun 1903 dan merupakan terminal keretapi pertama di Singapura. Keunikan Tanjong Pagar adalah hentian terakhir jaringan pengangkutan keretapi di hujung benua Asia. Walaupun berada di tengah-tengah negara lain, stesen Tanjong Pagar adalah pintu masuk ke negara ini bagi mereka yang memilih menggunakan perkhidmatan kereta api.

Stesen ini juga menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api ke Singapura. Ia bermula apabila Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar menerima permintaan British untuk membina laluan kereta api dan pembinaannya dirasmikan pada 1909. Apabila berakhirnya riwayat Tanjong Pagar sebagai sebuah stesen, ini bermakna Tanjong Pagar juga menjadi penutup perkhidmatan kereta api di Singapura.

Pembukaan Tambak Johor pada 28 Jun 1924 menjadi pemangkin kepada perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Singapura dengan negara ini. Stesen penuh sejarah ini menjadi suatu yang sering mengusik "keamanan dan persefahaman" Malaysia dan Singapura. Akhirnya terusir juga sebuah stesen kereta api milik Malaysia yang membelah republik itu. Semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.

No comments:

Post a Comment