Wednesday, July 28, 2010

Elak perselisihan dalam perkara furu’ – Tuanku Mizan

KUALA LUMPUR 27 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya lebih bersatu padu, terbilang dan sentiasa mapan mendepani cabaran semasa.

Pada masa yang sama, baginda mahu umat Islam mengelakkan perselisihan dalam perkara furu’ (cabang) kerana ia akhirnya boleh menimbulkan perpecahan.

Baginda bertitah, sesungguhnya Rasulullah dan para sahabat merupakan ikutan terbaik dalam konteks memperkukuhkan ukhwah bagi pembangunan ummah.

“Beta juga berharapkan agar seluruh dunia Islam dapat bersatu supaya agenda memajukan umat Islam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Beta juga mengharapkan agar masyarakat bukan Islam sewajarnya diberikan kefahaman bahawa Islam adalah agama progresif dan mencintai keamanan dan kemajuan,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-52 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Tema majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini adalah Memantapkan Ukhuwah Memperkasa Ummah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 76 peserta dari 47 negara menyertai tilawah kali ini.

Baginda dalam titahnya turut melahirkan dukacita apabila umat Islam diancam dengan pelbagai serangan fizikal mahupun spiritual dalam dunia pasca moden ini.

“Sehubungan itu, isu Islamofobia yang meracuni masyarakat dunia terutama di kalangan masyarakat Islam perlu ditangani dengan segera,” titah baginda.

Baginda dalam titah ucapannya turut menarik perhatian mengenai masalah kemiskinan, perpecahan, peperangan dan kurang penguasaan terhadap ilmu yang sehingga kini masih membelenggu umat Islam di seluruh dunia .

“Umat Islam juga masih berhadapan dengan masalah gagal menghayati konsep Islam sebenar selain mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai.

“Elemen-elemen seumpama ini merupakan penghalang kepada usaha pembinaan semula kegemilangan tamadun Islam,” titah baginda lagi.

Justeru baginda bertitah umat Islam perlu mengorak langkah dengan mewujudkan nukleus idea dan pengetahuan yang mapan di setiap peringkat supaya generasi Islam intelek dapat dilahirkan.

Sekali gus, baginda bertitah, ia dapat mengelakkan penindasan di kalangan masyarakat Islam.

Sementara itu baginda bertitah, majlis tilawah yang diadakan malam ini merupakan manifestasi kecintaan umat Islam terhadap kitabullah.

“Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat dan petunjuk sepanjang zaman. Beta percaya sekiranya umat Islam sedar keunikan, keindahan serta maksud keseluruhan al-Quran maka ia akan beri banyak kelebihan kepada umat Islam,” titah baginda lagi.

No comments:

Post a Comment