Thursday, December 16, 2010

Kekecohan Parlimen Satu Peristiwa Hitam: Khairy

Khamis Disember 16, 2010
Kekecohan Parlimen Satu Peristiwa Hitam: Khairy

KUALA LUMPUR: Kekecohan yang dicetuskan oleh anggota pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis semasa pembentangan usul penggantungan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia dan satu penghinaan terhadap institusi perundangan tertinggi negara, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kejadian itu seperti telah dirancang oleh pembangkang untuk mengelirukan dewan serta meraih simpati rakyat seolah-olah mereka tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan.

"Anwar sudah diberi satu proses yang adil bagi mempertahankan dirinya, kami di pihak Barisan Nasional sudah bersedia untuk membahas usul penggantungannya dan tiga Anggota Parlimen lain.

"Saya orang pertama yang dipanggil Speaker untuk membahas usul berkenaan, namun pembangkang menimbulkan kekecohan sehingga kita tidak boleh bercakap, usul penggantungan kedua kita tetap bahas walaupun pembangkang tiada," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Anwar daripada persidangan selama enam bulan kerana mengelirukan dewan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.

Turut digantung selama enam bulan ialah R. Sivarasa (PKR-Subang), Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.

Kekecohan berlaku apabila wakil rakyat pembangkang membantah pembentangan usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung penggantungan Anwar.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata pembangkang akan menggunakan isu berkenaan sebagai senjata kempen untuk memenangi hati rakyat bagi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan MIC, P.Kamalanathan membidas wakil-wakil pembangkang yang membawa masuk kad manila yang tertera dengan pelbagai kata-kata kesat semasa perbahasan usul.

"Demonstrasi jalanan dibawa masuk dan jika kita lihat kekecohan yang berlaku itu sememangnya strategi pembangkang untuk melengahkan perbahasan usul penggantungan berkenaan.

"Kalau mereka kata tidak diberi peluang dan usul mereka sentiasa ditolak, cuba kita tengok berapa banyak usul potong gaji menteri dibawa pembangkang diterima dan dibahas," katanya.

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pula berkata Anwar sengaja mereka-reka cerita dengan mendakwa beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan pada ruang yang secukupnya telah diberikan.

Malah, katanya, Anwar dibenarkan membawa peguamnya ketika mesyuarat Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan diadakan.

"Anggota Parlimen Subang dan Bukit Gelugor hadir untuk mesyuarat, bila mesyuarat hendak diadakan Speaker diasak sehingga tidak dapat adakan mesyuarat...mereka (pembangkang) menggunakan kuasa minoriti untuk memporakperandakan dewan," katanya.

Liong Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata kekecohan itu membuktikan pembangkang sanggup melanggar peraturan mesyuarat demi kepentingan politik mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment