Monday, February 14, 2011

TLDM Galak Mahasiswa Sertai Palapes Laut

ALOR GAJAH: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memberi peluang kepada para mahasiswa berkelayakan melibatkan diri sebagai pegawai di dalam pasukan simpanan TLDM.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata penyertaan dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (PALAPES-Laut) memberi manfaat untuk melahirkan satu kumpulan pemimpin yang mempunyai tahap disiplin tinggi serta bertanggungjawab.

"Ia bagi menyediakan satu pasukan simpanan yang terdiri daripada pegawai muda terlatih bagi TLDM untuk dikerah tenaga dalam keadaan darurat atau di waktu memerlukan," katanya ketika berucap sempena penubuhan PALAPES-Laut, Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Tanjung Dahan, dekat sini Jumaat.

Unit 33 penuntut ALAM itu merupakan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang pertama menubuhkan PALAPES-Laut yang keseluruhannya kini mempunyai sembilan unit serupa.

Abdul Aziz berkata penubuhan unit itu merupakan satu perkongsian strategik dalam memanfaatkan sumber manusia yang dilatih dalam bidang perkapalan dan maritim oleh ALAM.

"Perkongsian ini menjadi pendokong dalam merealisasikan konsep pertahanan menyeluruh dasar pertahanan negara," katanya.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ALAM, David Fredrick menerima pemakaian pangkat tauliah kehormat dan lencana pemerintah daripada Abdul Aziz. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment