Sunday, September 4, 2011

:: alfatihah & salam takziah ::

Kematian Noramfaizul menyentak perasaan rakyat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia, semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, berita menyedihkan itu tentunya menyentak perasaan rakyat Malaysia khususnya fraterniti media tempatan yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini di dalam negara.

“Saya yakin pemergian Noramfaizul bukan sahaja dirasai kaum keluarga Allahyarham, bahkan industri kewartawanan media yang kehilangan seorang rakan yang dedikasi, tekun serta berani menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata, selain anggota keselamatan, pengamal media juga banyak berkorban demi tugas tanpa mengira hari dan waktu terutamanya ketika musim perayaan, berjauhan daripada kaum keluarga dan orang tersayang.

“Seringkali pengorbanan mereka terbabit dipandang ringan. Sudah tiba masanya kita tunjukkan penghargaan dengan mendoakan keselamatan mereka,” katanya.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

“Kami berharap anggota keluarga Allahyarham Noramfaizul sabar menghadapi kehilangan insan tersayang. Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Somalia lebih berhati-hati memandangkan keadaan yang membahayakan di negara benua Afrika itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment