Thursday, September 1, 2011

SSPN Akan Diurus Dalam Talian Mulai Tahun Depan

Khamis September 1, 2011
SSPN Akan Diurus Dalam Talian Mulai Tahun Depan

KOTA BAHARU: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan mengendalikan proses pendaftaran dan urusniaga secara dalam talian melalui ejen yang dilantiknya mulai tahun depan.

Pengurus Kanan Pelaburan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tuan Din Tuan Mat berkata langkah itu memudahkan kepada mereka yang mahu menjadi anggotanya melalui beberapa bank yang dilantik sebagai ejen di seluruh negara.

Antara institusi kewangan terbabit ialah Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, Agro Bank, CIMB Bank dan Bank Islam Malaysia Berhad.

"Usaha ke arah penambahbaikan skim itu akan dapat menarik lebih ramai pelabur menyertainya sejak ia dilancarkan (pada 2004), katanya kepada Bernama selepas diwawancara Radio Malaysia Kelantan sempena program Merdeka Raya di sini, Khamis.

Tuan Din berkata buat masa ini, hanya Maybank merupakan ejen pertama memperkenalkan sistem perkhidmatan sistem dalam talian.

Beliau berkata skim itu menjanjikan dividen lumayan selain pelepasan cukai pendapatan dan kemudahan kepada anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Tuan Din berkata, sejak pelancarannya tujuh tahun lepas, SSPN mengumpul RM500 juta melalui penyimpan yang hampir mencecah sejuta orang.

Beliau berkata melalui penubuhan SSPN, ibu bapa tidak lagi menghadapi masalah pinjaman dengan perbadanan itu yang merupakan salah satu tabung yang mempunyai daya saing kepada badan lain yang kompetitif.

Katanya sejak PTPTN diperkenalkan pada 1997, ia menyediakan kira-kira RM4 bilion peruntukan pinjaman kepada pelajar setahun, dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sehingga kini berjumlah lebih RM39 bilion.

Kira-kira 75 peratus daripada peminjam telah menjelaskan pijaman mereka, katanya, sambil meminta peminjam yang gagal menjelaskan tunggakan pinjaman supaya datang ke pejabat PTPTN untuk berunding mengenai bayaran balik pinjaman bagi mengelak tindakan undang-undang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment