Saturday, November 19, 2011

8,000 siswazah SL1M mula kerja 2012


Utusan Malaysia,14/11/2011

8,000 siswazah SL1M mula kerja 2012

TASEK GELUGOR 13 Nov. - Kumpulan pertama seramai 8,000 orang siswazah menganggur yang menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bakal memulakan kerjaya
masing-masing hujung tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, seramai 5,000 daripadanya telah memulakan latihan di bawah skim itu di
beberapa syarikat sejak Julai lalu manakala baki 3,000 lagi pada September lalu.

Menurutnya, mereka ialah sebahagian daripada ribuan lepasan universiti yang masih belum memperoleh pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

"Setiap tahun kira-kira 90,000 mahasiswa tamat pengajian di universiti dengan 70,000 orang daripada mereka berjaya mendapat kerja enam bulan selepas
itu.

"Bagaimanapun, 20,000 orang lagi masih belum mendapat kerja selepas tempoh sama disebabkan kekurangan skil komunikasi dan tiada keyakinan.

"Menerusi SL1M, mereka dibentuk menjadi seorang pekerja yang mampu memenuhi permintaan pasaran pekerjaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal Parlimen Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan SL1M bertujuan membantu para siswazah mendapat pekerjaan yang sesuai dengan
kelayakan mereka.

Di bawah skim tersebut, siswazah yang gagal mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian berpeluang menerima latihan dengan
syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) selama setahun.

Mereka juga layak menerima elaun minimum RM1,000 sebulan sepanjang tempoh latihan tersebut.

Selain didedahkan dengan kemahiran seperti soft skills, siswazah berkenaan turut menerima latihan dalam kerja dan akan dibantu untuk mencari kerja
tetap selepas tamat latihan SL1M.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memberitahu, SL1M adalah lanjutan program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara,
Khazanah Nasional Berhad dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran yang berjaya menyediakan latihan dan pekerjaan kepada 12,000 graduan menganggur
khususnya daripada keluarga miskin sebelum ini.

"Melihatkan kejayaan program tersebut, maka Unit Perancang Ekonomi (EPU) melaksanakan SL1M bagi membantu mengurangkan jumlah graduan menganggur yang
wujud setiap tahun," ujarnya.

Thursday, November 17, 2011

:: teater Badai Semalam ::


PEMENTASAN teater yang dinanti-nantikan ramai, Badai Semalam membuka tirai persembahannya malam ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Diangkat daripada naskhah agung karya Khadijah Hashim, persembahan teater itu dijangka hebat kerana menampilkan Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2011, Datin Umie Aida yang mendukung watak Rohana.
Selain Umie, ia turut menampilkan Erra Fazira yang membawa watak Mazni digandingkan dengan Aaron Aziz sebagai Karim dan Fizz Fairuz (Zaki).
Teater Badai Semalam, terbitan IB dengan kerjasama Frensis Sdn. Bhd., iaitu produksi milik Erra, Umie dan Ziela Jalil.
Sejak diperkenalkan barisan pelakon dan pengumuman Kumpulan Utusan sebagai media rasmi serta Sinar FM sebagai stesen rasmi bagi membantu mempromosikan teater tersebut, penjualan tiketnya dikatakan amat memberangsangkan.
Ia diakui oleh Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani yang memberitahu lebih 80 peratus tiket teater Badai Semalam telah habis dijual.
"Sejak pengumuman tentang pementasan Badai Semalam dibuat pada bulan lalu, sehingga ke saat-saat akhir ini pun kita masih mendapat panggilan dan tempahan tiket daripada orang ramai yang mahu menyaksikan teater ini.
"Maka itu saya nasihatkan para peminat teater agar membeli tiket awal dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir kerana besar kemungkinan tiket habis dijual," katanya.
Mohamed Juhari menambah, pementasan teater tersebut yang berlangsung selama 10 hari, bermula malam ini hingga 20 November, turut mencipta fenomenanya apabila mencatat jumlah penonton yang tinggi berdasarkan jualan tiket setakat ini.
"Seperti mana pementasan-pementasan di IB yang telah lalu, Badai Semalam mempunyai tarikan yang kuat di kalangan penggemar teater.
"Rasanya adalah satu kerugian sekiranya terlepas menyaksikan teater Badai Semalam," ujarnya.
Teater arahan Khairunazwan Rodzy itu turut menampilkan Ziela Jalil sebagai Bibah (ibu Mazni), Jasmin Hamid (Dora), Emelda Rosmila (Mahani) dan Iqbal Taufik (Haris).

Wednesday, November 2, 2011

:: percintaan ini ::


Masih terbayang di ruangan mataku
Saat indah bersamamu dulu
Masihku ingat janji manismu
Bertakhta di hatiku
Ooh… o.h….oohh…
Di kala itu engkau lah bintang
Menyuluh malam yang kegelapan
Tetapi kini tiada lagi
Tinggalku sendiri

Korus :
Percintaan ini amat memilukan
Perpisahan ini sungguh menyakitkan
Namun apa daya terpaksa ku telan semua kepahitan

Kepiluan ini meracun hidupku
Kesunyian ini membunuh jiwaku
Tergamak kau sayang
Melihat diriku dalam kesedihan
Dipermainkan olehmu
Sia – sia saja percintaan ini
Tak bisa sampai ke puncak nya
Sekelip mata hilang semuanya
Yang tinggal hanya airmata

Ohh..Ohh…Oh….

Tuesday, November 1, 2011

:: MTUC beri jaminan piket Khamis ini aman ::


MTUC beri jaminan piket Khamis ini aman


2011/11/01

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi jaminan piket yang akan diadakan di seluruh negara Khamis ini akan diadakan secara aman. 

Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor, juga berkata piket bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang diluluskan Parlimen pada 6 Oktober lalu, tidak akan mengganggu ketenteraman awam serta tidak mengganggu tugas pekerja terbabit kerana ia akan diadakan selepas waktu bekerja iaitu antara 5 hingga 6.30 petang.
Beliau berkata, sebanyak 18 lokasi piket ditetapkan iaitu Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang, Jalan Barat Petaling Jaya, Bukit Raja Klang, Rawang/Sungai Choh di Selangor, Pulau Pinang (Hadapan Pearl View Hotel, Prai), Melaka (Jalan Bukit Beruang Air Keroh), Negeri Sembilan (Padang Majlis Perbandaraan Seremban).


Di Perak (hadapan bangunan MTUC, Ipoh), Pahang (Padang Masjid Negeri, Kuantan), Kelantan (hadapan Kota Bharu Trade Centre), Johor (hadapan Masjid Jamek Kampung Pasir, Batu 5 Jalan Skudai), Kuala Lumpur (hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut), Sabah (hadapan Tang Dynasty hotel dan Centre Point Kota Kinabalu), Kedah (hadapan Sime Tyre International, Mergong) dan Sarawak (hadapan Bangunan Sultan Iskandar, Kuching). 

Ketika dihubungi, Abdul Halim berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan. 

"Berdasarkan pengalaman selama 30 tahun bersama MTUC, saya memberi jaminan bahawa piket ini akan berlangsung secara aman bagi membela nasib pekerja dan memastikan perlindungan serta hak-hak pekerja terjaga. 

"InsyaAllah piket ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pekerja berdasarkan lokasi yang kita pilih iaitu berhampiran dengan tempat kerja bagi memudahkan mereka datang memberi sokongan," katanya. 
Beliau berkata piket itu dijangka membabitkan antara 300 hingga 500 orang di setiap lokasi dan pegawai kesatuan sudah diberi tanggungjawab memastikan piket berlangsung secara aman. 

Ditanya mengenai bantahan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 itu, Abdul Halim berkata isu utama mengenai pindaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja dan ini membolehkan majikan "mengupah" kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan berkenaan. 

Beliau berkata, sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan berkenaan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - BERNAMA