Saturday, November 19, 2011

8,000 siswazah SL1M mula kerja 2012


Utusan Malaysia,14/11/2011

8,000 siswazah SL1M mula kerja 2012

TASEK GELUGOR 13 Nov. - Kumpulan pertama seramai 8,000 orang siswazah menganggur yang menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bakal memulakan kerjaya
masing-masing hujung tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, seramai 5,000 daripadanya telah memulakan latihan di bawah skim itu di
beberapa syarikat sejak Julai lalu manakala baki 3,000 lagi pada September lalu.

Menurutnya, mereka ialah sebahagian daripada ribuan lepasan universiti yang masih belum memperoleh pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

"Setiap tahun kira-kira 90,000 mahasiswa tamat pengajian di universiti dengan 70,000 orang daripada mereka berjaya mendapat kerja enam bulan selepas
itu.

"Bagaimanapun, 20,000 orang lagi masih belum mendapat kerja selepas tempoh sama disebabkan kekurangan skil komunikasi dan tiada keyakinan.

"Menerusi SL1M, mereka dibentuk menjadi seorang pekerja yang mampu memenuhi permintaan pasaran pekerjaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal Parlimen Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan SL1M bertujuan membantu para siswazah mendapat pekerjaan yang sesuai dengan
kelayakan mereka.

Di bawah skim tersebut, siswazah yang gagal mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian berpeluang menerima latihan dengan
syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) selama setahun.

Mereka juga layak menerima elaun minimum RM1,000 sebulan sepanjang tempoh latihan tersebut.

Selain didedahkan dengan kemahiran seperti soft skills, siswazah berkenaan turut menerima latihan dalam kerja dan akan dibantu untuk mencari kerja
tetap selepas tamat latihan SL1M.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memberitahu, SL1M adalah lanjutan program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara,
Khazanah Nasional Berhad dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran yang berjaya menyediakan latihan dan pekerjaan kepada 12,000 graduan menganggur
khususnya daripada keluarga miskin sebelum ini.

"Melihatkan kejayaan program tersebut, maka Unit Perancang Ekonomi (EPU) melaksanakan SL1M bagi membantu mengurangkan jumlah graduan menganggur yang
wujud setiap tahun," ujarnya.

No comments:

Post a Comment