Sunday, December 18, 2011

Nasib Anwar...


Nasib Anwar...



KEPUTUSAN kes Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, akan diketahui 9 Januari ini.
Tarikh itu nanti pasti menjadi perhatian ramai. Kes perbicaraan liwat tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di dunia melibatkan pemimpin pembangkang.

Pada tahun 2000, Anwar pernah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat, juga merupakan rekod.

Anwar yang selama ini mendabik dada memperjuangkan keadilan dan kebebasan, turut mengejutkan semua apabila memilih memberikan keterangan membela diri di dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah. Ia sekali gus ‘menyelamatkan’ beliau daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan.

Perbicaraan tersebut turut mencatat sejarah kerana mengambil masa yang panjang ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan.

Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 dan hanya selepas dua tahun tujuh bulan, barulah perbicaraan sebenar bermula iaitu pada 3 Februari 2010. Seingat Awang, tiada kes lain di tanah air ini yang begitu mencabar sebagaimana perbicaraan Anwar. Sehingga hari ini, beliau juga masih enggan bersumpah laknat di dalam masjid bagi menafikan pembabitan dalam kes liwat itu walaupun Saiful telah berbuat demikian.

Pada masa yang sama, Anwar terus menjadi tumpuan kontroversi kerana dikaitkan dengan rakaman video seks bersama pelacur selain isu-isu integriti. Bukti-bukti kesahihan video telah disahkan oleh pakar-pakar termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan polis. Kini Ketua Pembangkang itu sudah dianggap sebagai liabiliti. Belum pernah dalam sejarah di mana-mana negara, ada Ketua Pembangkang yang paling bermasalah terutama dari segi akhlak dan moral. Dalam menanti penentuan 9 Januari ini, Awang mendapat tahu, PKR yang dipimpin oleh Anwar sudah mengatur gerakan, daripada yang bertujuan meraih simpati hinggalah kepada tindakan lebih menggemparkan.
Seperti menjangkakan Anwar akan didapati bersalah, Angkatan Muda Keadilan parti itu mula melancarkan Kempen Bebas Anwar 901 secara maya di laman twitter.

Khabarnya, ada banyak rancangan lagi. Demonstrasi jalanan, salah satu pilihan sebagaimana ketika kes liwat pertamanya dulu. Itu belum menyentuh kata dua Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mahu merobohkan penjara jika bosnya dipenjarakan.

Anwar sendiri sanggup melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan dirinya. Jika didapati bersalah dan dipenjarakan, Awang percaya simpati kepadanya tidak lagi seperti dahulu. Rakyat sudah kenal siapa Anwar. Angkara nafsu peribadi tidak boleh dijatuhkan beban kepada rakyat. Anwar tahu segala risikonya kali ini. Maka ini penentuan terbesar bagi hidup dan karier politiknya, yang tidak mungkin beliau pasrah begitu sahaja. Ia memungkinkan pelan luar jangkaan. Kita nantikan apa kejutannya.

No comments:

Post a Comment