Monday, August 27, 2012

Neil Armstrong meninggal


WASHINgTON 26 Ogos - Angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Armstrong, meninggal dunia semalam setelah mengalami komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung.

Berusia 82 tahun, Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini selepas doktor mendapati saluran darahnya tersumbat, menurut ahli keluarganya dalam satu kenyataan, semalam.
Menyifatkan Armstrong sebagai ‘Hero AS yang tidak suka menonjolkan diri’, ahli keluarganya berkata, kematiannya adalah sesuatu yang amat menyedihkan, sambil menyatakan bahawa peneraju angkasa lepas itu telah berkhidmat dengan bangga sebagai juruterbang jet pejuang tentera laut, juruterbang penguji dan seorang angkasawan.

“Walaupun kami berkabung atas kematiannya, tetapi kami turut berbangga dengan kehidupannya yang luar biasa dan berharap ia akan menjadi contoh kepada golongan muda di seluruh dunia supaya bekerja keras mencapai cita-cita mereka, sanggup bekerja di luar batasan diri dan tidak mementingkan diri," kata ahli keluarga angkasawan legenda itu.

Armstrong dan seorang lagi angkasawan, Edwin “Buzz" Aldrin mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 dengan menaiki Apollo 11 sambil disaksikan beratus juta penonton televisyen di seluruh dunia.
Perkataan pertamanya ketika menjejakkan kaki ke permukaan bulan: ‘Ini adalah satu langkah kecil bagi seorang lelaki, tetapi menjadi satu lonjakan gergasi kepada manusia’ turut menjadi kata-kata sejarah.
Armstrong yang turut menerima penghargaan daripada 17 negara, selain beberapa anugerah daripada kerajaan AS sendiri, bagaimanapun tidak selesa dengan kemasyhurannya di seluruh dunia dan sering menjauhkan diri daripada mendapat perhatian.

Beliau turut berhenti menandatangani memorabilia selepas mengetahui tandatangannya telah dijual pada harga yang sangat tinggi.
- AFP

No comments:

Post a Comment